Rabu, 6 Oktober 2010

Tinta Pengerusi:PENGARUH DOA

Orang-orang yang beriman dianjurkan supaya sering berdoa kepada Allah. Dalam bulan Ramadhan disamping kita disuruh berpuasa, kita juga diajar supaya banyak membaca al quran, zikir dan tidak lupa kita disuruh banyak berdoa. Allah menyatakan ia dekat dengan hambanya apalagi seorang hamba yang gemar mendekat dengan Allah. Lantaran dekatnya Allah dengan hambanya apa perlu berdoa dengan suara keras, Allah bisa mendengar samada bersuara mahupun tidak.


Lantaran dekatnya Allah dengan kita lalu apa perlu kita memakai perantara. Seperti sesetengah ajaran lain yang suka mengambil perantara konon merasa diri sendiri kotor maka tidak layak berdekat dengan Allah. Allah tidak suka kita memakai perantara. Bimbang juga kalau kalau jatuh syirik pula. Allah berfirman yang maksudnya kira-kira begini “ mintalah dari aku, nescaya aku perkenankan”. Allah juga berfirman yang maksudnya “ Dan Kami adalah lebih Dekat kepadanya daripada kamu, akan tetapi kamu tidak melihat”. Dekatnya Allah tidak perlulah kita memakai berbagai penaksiran, cukuplah kita percaya Allah tidak serupa dengan ciptaannya sendiri. Bermaksud Allah dekat dengan kita tidak mesti seperti berdempek kita dengan sesuatu yang lain. Dekat Allah adalah selayaknya Allah yang memiliki zat yang maha tinggi. Cukup kita percaya bahawa Allah dekat dengan orang yang berdoa.

Supaya permohonan itu mendapat perhatian Ilahi, maka orang-orang yang berdoa mesti bersedia untuk mendapat bimbingan dari tuhan. Bimbingan dengan maksud bersedia mengikut petunjuk dari Allah. Disamping itu penting sekali bagi orang yang berdoa yakin kepada Allah sepenuhnya. Maka orang yang tidak bersedia menyambut atau menerima bimbingan Allah, dan tidak membina imannya dengan tuhan apalagi melakukan syirik terhadap Allah maka sukar permohonannya dimakbulkan. Menyambut seruan tuhan dan beriman kepada tuhan adalah satu-satu jalan yang mendekatkan diri kepadanya. Allah berjanji memberi petunjuk kepada orang yang mendekat dengannya sehingga orang-orang ini menjadi cerdik dan bijaksana.
Orang-orang yang cerdik bukanlah orang yang mengarahkan tuhan supaya beri itu dan ini kepadanya. Apa yang diminta menjadi ukuran kecerdikan seseorang. Kerana seseorang hamba yang meminta sesuatu lalu tidak diberi maka ia merasa sangat kecewa, dan juga jangan kita tentukan bilakah ia mesti diberi, kerana kalau lambat diberi timbul pula leteran atau omelan. Ini semua tanda sipeminta kurang kecerdikan dalam berdoa. Dalam meminta mintalah modal yang besar dan kukuh, bukan benda tetapi sesuatu yang dapat menghasilkan benda. Doa yang diajar oleh nabi adalah sebaik-baik doa, tidak mesti dalam bahasa Arab. Bahasa sendiri juga boleh.

Mintalah kepada Allah, jangan pakai perantara. Semua makhluk memerlukan Allah. Makhluk tidak dapat memberi sesuatu pun kerana dia sendiri mohon dari Allah. Apalagi makhluk yang beku laksana batu, pohon kayu, gunung ganang dan sebagainya semuanya tiada kuasa. Apalagi keramat yang boleh memberi munafaat dan menolak bahaya.

Dalam sebuah hadith nabi ada bersabda yang bermaksud “ Tidaklah mendoa seorang muslim dengan satu doa, yang doa itu tidak dicampuri dengan maksud yang jahat (dosa) atau memutuskan silaturrahmi, melainkan pastilah doa itu dikabulkan tuhan dengan menempuh satu dari tiga cara. Adakalanya doa itu diperkenankan dengan cepat, adakalanya disimpan dahulu untuk persediannya di hari akhirat, dan adakalanya dipalingkan kejahatan yang seumpamanya.”

Dalam sebuah hadith yang lain lagi ada tersebut bahawasanya lambat atau cepatnya akan terkabul sesuatu doa dari seseorang hamba adalah rahasia tuhan dan kasih sayang tuhan kepadanya. Di situ disebutkan lantaran kasih tuhan kepadanya lalu permohonannya lama baru dikabulkan kerana tuhan amat kasih kepadanya dan ia suka mendengar suara hambanya itu berdoa kepadanya. Sebaliknya orang yang berdoa lalu dikabulkan, kerana tuhan bosan kepadanya.Allah memerintahkan malaikat segera berikan kerana Si hamba ini sangat mengharapkan benda tetapi tidak mengharapkan kepada pemberinya. Ia hanya nampak benda tak nampak yang Maha Pemberi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan