Ahad, 5 September 2010

FATIMAH SAUDARAKU:Kecintaan Kepada Islam

Hari masih awal, waktu asar masih panjang, seorang perempuan berusia awal 50an dan masih sihat sedang menyapu lantai surau di Taman Keramat Kuala Lumpur. Surau ini baharu siap dibesarkan dan ia digunakan untuk sembahyang Jumaat. Khabarnya seorang kontraktor menanggung kos ubahsuai. Perempuan ini nampak bersungguh-sungguh dalam kerjanya.. Saya menyapa perempuan itu “Awak kerja sini ke, saya tak pernah lihat awak di sini” . Tidak” , ia segera menyahut . “ Saya suka rumah Allah, saya suka tempat ini, ia cantik dan bersih. Saya datang awal dua jam sebelum maghrib untuk mencuci rumah Allah, nama saya Fatimah, saya saudara baru,” Fatimah terus bercerita.

“Saya orang India, dulu saya berugama Hindu”. Fatimah yang berpakaian sepasang baju kurung dan bertutup kepala menyambung ceritanya. “ Saya suka tempat ini, ini rumah Allah. Dulu semasa saya ugama Hindu, di dahi saya ada tanda”, sambil memegang dahinya, “banyak kuil yang besar dan kecil saya telah pergi”. Fatimah bercerita satu persatu, Batu Caves juga saya pernah pergi”
Fatimah yang bertubuh kurus tinggi dan bercermin mata itu berkata “Saya tinggal di Kuala Ampang, di kawasan saya tinggal ramai orang Islam, saya suka melihat orang Islam menyambut hari kebesaran mereka seperti hari raya, hari jumaat dan berpuasa, saya selalu mengikut mereka berpuasa.” Saya kata kepada diri saya sendiri, kenapa aku tidak masuk Islam, kenapa aku boleh puasa, kenapa tidak masuk Islam, saya terasa tangan saya seolah-olah di tarik untuk masuk Islam. Akhirnya Fatimah mengambil keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah, ia tinggalkan keluarganya yang masih dalam agama asalnya. Kini sudah setahun setengah Fatimah menganut Islam.
Fatimah sangat puas sekarang, wajahnya terpancar kepuasan yang tidak dibuat-buat, ia lahir dari hati nuraninya. Pancaran tauhid lahir dari hatinya. Hatinya tidak hitam sebagai kulitnya, hatinya putih bersih lagi tulus. Makrifatnya sangat tinggi, walau baru setahun memeluk Islam. Mungkin Fatimah dikurnia ilmu laduni, ilmu yang dipancar oleh Allah ke akalnya dan terpahat di dalam hati. “Ok lah”,. Fatimah menutup ceritanya. Saya beredar untuk mendirikan sembahyang asar. Fatimah terus menyapu lantai surau yang luas itu.
Selesai sembahyang saya menghulurkan sepuluh ringgit kepada Fatimah. “Tak apalah, saya tak perlukan duit, saya kerja sini hanya sukarela sahaja. Saya suka tempat ini, ini rumah Allah, saya suka rumah Allah bersih”. Saya meminta Fatimah sudi menerima pemberian saya, mana tahu di hari akhirat saya dapat menumpang Fatimah untuk masuk di dalam kumpulan orang yang diredhai Allah. Fatimah menerima pemberian saya, terkeluar dari mulutnya “saya surrender kepada Allah, saya surrender kepada Allah, alhamdulillah. Allah great, Allah great.

“Sekarang hati saya sungguh tenang, saya tak perlukan rumah besar, harta yang banyak, cukuplah saya telah Islam, saya telah ada Allah, Saya suka rumah Allah” . Sekarang saya suka belajar al Quran dan saya telah boleh membaca al Quran sedikit-sedikit. Saya berkata kepada Fatimah “tengoklah Ustaz Ravi, sekarang menjadi seorang Ustaz lagi alim”. Fatimah tidak tahu tentang ulama muda ini. Apa yang dia tahu sekarang dia telah Islam, dan dia ada Allah. Allah great, Allah great. Mulutnya tidak putus-putus menyebut Allah great, Allah great , alhamdullillah. Saya beredar meninggalkan Fatimah dalam cuaca yang mendung dan hujan renyai-renyai mulai turun. Fatimah terus menyapu lantai surau yang kelihatan cantik dan kemas.

Benarlah, Allah memberi Islam dan Iman kepada siapa yang dia kasih. Tidak semua orang mendapat iman dan Islam, sebagaimana Allah memberikan rezeki makan dan minum kepada semua orang. Janji Allah kepada manusia tidak ada haiwan (manusia haiwan yang boleh berkata-kata lagi berakal) yang melata di atas muka bumi melainkan rezekinya telah ada, manusia tidak perlu bimbang. Rezeki tak perlu di cari, tapi hanya dijemput, kerana kalau dicari mungkin tak jumpa, kalau dijemputnya ianya telah tersedia. Itulah kata-kata seorang pendakwah Indonesia yang menggelarkan dirinyanya dengan panggilan Aagym.

Hati saya tersentuh “ saya surrender kepada Allah”. Berbahagialah Fatimah bersama iman dan makrifatnya. A meen

Oleh : PW 1 Ramli bin Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan