
Habis cerita, sebaliknya manusia tidak habis cerita di situ semuanya akan diaudit secara teliti. Lamanya menghadapi audit ini memakan masa jutaan tahun. Masing-masing kebingungan memikirkan nasib yang akan menimpa. Kedahsyatan ini menyebabkan mereka redha dihantar ke mana sahaja hatta masuk ke neraka sekalipun kerana keletihan dan kepenatan yang amat sangat. Mereka meminta untuk dijadikan tanah sebagaimana binatang yang Allah jadikan tanah. Masing-masing nafsi-nafsi (diriku-diriku). Semuanya bersendirian, tidak akan lagi penolong yang sudi menolong. Walaupun di atas dunia ada orang yang sangat dikasihi namun di sana tidak lagi. Banyak sangat maklumat yang telah didedahkan oleh Allah untuk menyedarkan manusia supaya tidak lalai di atas dunia. Orang-orang yang beriman sepatutnya sedar mereka sebenarnya sedang musafir di atas muka bumi. Kebiasaannya orang yang sedang musafir tidak akan terpesona dengan tempat kehidupan di situ, sebaliknya ia hanya mengambil sekadar yang perlu sahaja. Maklumlah selepas ini ia akan kembali ke kampung halamannnya. Di kampung halamanlah tempat dia beristirehat. Dunia ini sebenarnya tempat mengumpul bekal yang sebanyaknya kerana kita akan gunakan bekal itu semasa kesempitan di padang Mahsyar. Bekal yang disuruh oleh Allah ialah bekal takwa. Khutbah jumaat diperintahkan oleh Allah untuk menyebut supaya orang yang beriman mengambil bekal di atas dunia, ya’ni bekal takwa. Sahabat nabi asyik sangat dengan pengajaran nabi, mereka suka dengar nasihat nabi. Nabi ulangi kepada sahabatnya supaya berbekal dengan bekal takwa.. Nabi kita Muhammad s.a.w pernah berpesan supaya orang Islam bekerja bersungguh-sungguh seolah-olah mau hidup seribu tahun lagi dan beramal untuk kehidupan akhirat seolah-olah besok akan mati. Penulis mendapat ilmu semasa zaman remaja ketika belajar dahulu di Terengganu maksud kepada kata-kata nabi ialah akhirat mesti disegerakan. Urusan akhirat jangan ditangguh-tangguh kerana hari hanya tinggal esok. Sementara untuk urusan dunia tak mengapa dilengah-lengahkan kerana masa masih panjang.. Ingatlah setiap yang datang itu dekat dan yang ditinggalkan itu jauh. Yang datang itu kematian yang ditinggalkan itu dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan