
Manusia yang hidup di atas dunia akan sentiasa diuji oleh Allah. Dunia sebenarnya tempat ujian. Orang yang beriman tidak dibiarkan mengaku beriman melainkan ia akan diuji. Ujian kesenangan lebih mencabar berbanding ujian kemiskinan dan susah. Kebanyakan daripada manusia bila berhadapan dengan susah hatinya akan sentiasa berpaut erat kepada Allah. Berbanding ketika lapang dan kekayaan manusia sering saja lalai. Ibarat orang yang jatuh ke laut lepas ia hanya berpaut pada sekeping papan. Tiada makanan dan minuman. Dikala itu hatinya bulat kepada Allah.
Sesuatu yang aneh kiranya orang beriman mengharapkan kesenangan di atas dunia. Dunia tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat tuainya. Sebenarnya dunia ini penjara bagi orang mu’min dan syurga bagi orang kafir. Maksud penjara ialah semua aktivitinya adalah terhad dan terbatas. Perlakuannya, percakapan, gurau senda, makan minum, berhibur, bersedih, bekerja dan berehat semuanya ada batas. Laksana orang yang terpenjara semuanya terbatas. Kadang-kadang tangannya bergari dan ditambah lagi awasan warden 24 jam.
Orang-orang beriman yang merasa ingin taqarub kepada Allah, rindu hatinya ingin beribadat, tiba-tiba disana ada halangan. Menurut Hujjatul Islam Imam Ghazali. Halangannya ada 4: Dunia, Makhluk, Syaitan, Nafsu
Liciknya Tipudaya Syaitan
Syaitan menyuruh manusia agar jangan taat kepada Allah. Orang-orang yang dipelihara oleh Allah akan menolak ajakan itu dan berkata:Aku sangat memerlukan pahala dari Allah, kerana aku perlu kepada bekal untuk kehidupan hari akhirat yang kekal abadi.
Syaitan akan mengajak manusia untuk berhenti taat kepada Allah, atau diajak untuk tangguh dulu. Bila usia telah tua baharulah taat kepada Allah. Sekarang masa untuk enjoy dan bersukaria dulu. Hidup hanya sekali dan muda juga hanya sekali. Jangan sia-siakan zaman mudamu. Beragai cara syaitan cuba menggoda anak cucu Adam. Orang yang dipelihara oleh Allah akan menolaknya dengan mengatakan: Ajalku bukan pada tanganku:jika aku mengundur amal hari ini untuk esok, maka amal hari esok bila aku kerjakan, pada setiap hari mempunyai amal tersendiri. Setiap saat itu ada amalnya yang tersendiri dan saat-saat itu laksana almari yang kosong, ianya perlu diisi dengan ibadat kepada Allah.
Sentiasalah syaitan mendorong manusia supaya terburu-buru mengerjakan amal baik, dengan amat segera, dan katanya:Bersegeralah beramal,supaya engkau dapat memburu lagi amal lain nya. Orang yang selamat tentu menolak dan berkata: Amal yang sedikit tapi sempurna lebih baik daripada amal banyak tapi tidak sempurna.Mereka sedar terburu-buru itu daripada syaitan. 5 Perkara yang dibenarkan terburu-buru. Anak perempuan segera dikahwinkan bila ada jodohnya, mayat segera diuruskan, hutang segera dibayar, hormat tetamu bila ia datang, bertaubat setelah melakukan dosa.
Syaitan itu lalu menyuruh manusia supaya mengerjakan amal baik dengan sempurna sebab kalau tidak sempurna nanti dicela oleh orang lain. Orang-orang yang terpelihara tentu menolaknya dan akan berkata: Untuk saya cukup dinilai oleh Allah sahaja dan tidak ada faedahnya beramal kerana manusia.Orang yang beramal untuk dilihat oleh manusia ia sebenarnya masih terselaput dengan penyakit riya’.
Setelah itu syaitan menanamkan perasaan dalam hati orang yang beramal dengan mengatakan : Betapa tingginya darjatmu dapat beramal soleh dan betapa pula cerdikmu dan kesempurnaanmu. Orang-orang yang baik akan menjawab bahawa semua keagungan dan kesempunaan itu kepunyaan Allah bukan kekuatan atau kekuasaanku, Allah-lah yang memberi taufik kepada ku untuk dapat mengerjakan amal yang diredhoi, dan memberikan ganjaran yang besar dengan kurnianya. Jika sekiranya tanpa kurnia Allah, maka apalah harganya amalku ini dibandingkan dengan banyaknya nikmat Allah kepadaku, disamping dosaku yang banyak pula.
Setelah bujukanya gagal maka syaitan mengajukan jalan yang lain pula. Jalan ini lebih hebat dari yang telah disebut tadi, dan tidak akan sedar terhadapnya kecuali orang yang cerdik dan hidup fikirannya, syaitan itu berkata, mendesuskan dihati manusia. “Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir, jangan diketahui oleh manusia sebab Allah jualah yang akan menzohirkan amalmu nanti terhadap manusia dan akan mengatakan bahawa engkau seorang hamba Allah yang ikhlas. “syaitan itu mencampur-baurkan terhadap setiap orang yang beramal dengan amal tipuannya yang lemah sekali. Dengan ucapannya syaitan bermaksud, untuk memasukkan sebagian dari penyakit riya’. Orang-orang yang terpelihara oleh Allah menolak ajakan syaitan itu dengan mengatakan: “Hai mal’un (orang yang dilaknat) tiada henti-hentinya engkau menggodaku untuk merosak amalku dengan rupa-rupa jalan dan sekarang engkau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalku, padahal maksudmu untuk merosaknya. Aku ini hamba Allah, dan Allah S.W.T yang menjadikan aku. Kalau Allah SWT berkehendak menzohirkan amalku atau menyembunyikannya, dan kalau berkehendak menjadikan aku mulia atau hina, ini adalah urusan Allah. Aku tidak gelisah apakah amalku itu diperlihatkan oleh Allah kepada manusia atau tidak, kerana itu bukan urusan manusia.
Setelah gagal syaitan itu menggoda, ia tidak putus asa. maka ia menggoda lagi dengan jalan yang dengan mengatakan: “ Hai manusia tidak perlu engkau menyusahkan dirimu untuk beramal ibadah, kerana jika engkau telah ditetapkan oleh Allah pada azali dan dijadikan makhluk yang bahagia, maka tidak akan menjadikan mudhorat apa-apa bagi engkau untuk meninggalkan amal, engkau akan tetap menjadi orang yang bahagia, sebaliknya jika engkau dikehendaki Allah menjadi orang yang celaka, maka tidak ada gunanya lagi engkau beramal dan tetaplah engkau celaka.Orang yang terpelihara oleh Allah tentu akan menolak godaan ini dengan mengatakan: Aku ini seorang hamba, berkewajipan menurut perintah tuhanku. Tuhan maha mengetahui, menetapkan sekehendaknya dan berbuat apa saja yang dikehendakinya. Amalku tetap akan bermunafaat, walau bagaimanapun keadaanku. Jika aku dijadikan seorang yang berbahagia, aku tetap dan berbuat apa saja yang dikehendakinya. Amalku tetap akan bermunafaat, walau bagaimanapun keadaanku. Jika aku dijadikan seorang yang berbahagia, aku tetap perlu beribadah untuk menambah pahala, dan jika aku dijadikan seorang yang celaka aku tetap beramal ibadah, supaya tidak menjadi penyesalan bagi diriku meninggalkan amal itu.
Jika sekiranya aku dimasukkan neraka, pada hal aku taat, aku lebih senang daripada jika dimasukkan neraka kerana maksiat. Tetapi tidak akan demikian keadaannya kerana janji Allah pasti terjadi dan kalamnya pasti benar. Allah telah menjanjikan kepada siapa yang beramal taat kepadanya akan diberi ganjaran. Siapa-siapa yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah tidak akan dimasukkan ke neraka dan pasti akan dimasukkan ke syurga. Jadi masukknya seseorang ke syurga bukanlah kerana kekuatan amalnya, tetapi kerana janji Allah semata yang pasti dan suci.
والله أعلم
Oleh: PW 1 MARITIM RAMLI BIN ISMAIL
Sumber rujukan - Minhaajul ‘Abidin lil Imam Al Ghazali
Tiada ulasan:
Catat Ulasan