Selasa, 12 Oktober 2010

Tinta Pengerusi:MENGHARGAI MASA HIDUP

Masa hidup adalah masa yang paling berharga, iaitu ketika kita masih boleh bercakap dan bertutur. Masa hidup tetapi dalam keadaan koma atau ketika hidung dan mulut dipenuhi wayar tidak berguna juga. Kerana pada masa ini tidak ada apa yang boleh dibuat. Hidup mereka hanya dibantu oleh oksigen yang dipaksa masuk ke dalam jantung.

Dengan sebab itulah masa hidup mesti diisi dengan amal yang baik. Amal baik khusus untuk akhirat atau pun amal berbentuk dunia yang pastinya ada kaitan selepas mati. Kehidupan akhirat sangat berbeza dengan kehidupan dunia. Wang kertas mahupun dinar tidak berguna lagi. Sebaliknya timbunan pahala hasil kerja buat kebaikan itulah yang boleh membantu kita. Walaupun kita mati tidak dibalut kain kapan yang mahal tetapi kita selamat kerana kita ada pahala. Sebab itulah dunia disebut sebagai Daarul Amal dan akhirat disebut Daarul jazaa’. Dunia tempat bertanam akhirat tempat ambil hasil. Kehidupan akhirat sangat menakutkan. Jangankan akhirat sepanjang di alam barzah pun sangat menggerunkan.

Di dunia dalam kebanyakan aktiviti ada teman yang membantu atau memberi sokongan moral sekurang-kurangnya. Kepayahan menjadi ringan kerana ada orang lain yang datang membantu. Berbeza di alam akhirat semuanya terpaksa dibuat secara sendirian. Tidak ada pembantu yang sudi menolong. Tengok sahaja selepas mayat dikebumikan, selesai talqin dibaca kan semua orang bergegas balik. Masing-masing sibuk dengan urusan yang sedang menunggu. Lolongan ahli kubur yang baru dikebumikan minta pertolongan tak ada siapa yang sudi mendengar. Lebih teruk lagi sahabat handai yang selama ini sama-sama ketawa di atas dunia tidak sudi beristifhfar, sekadar jenguk dari jauh sahaja.

Pun begitu Allah sediakan juga teman bagi penghuni alam barzakh ini. Mereka tidak keseorangan juga. Teman akrab yang dimaksudkan ialah amalan seseorang itu sendiri. Sekiranya amalan baik yang dibawa ke akhirat maka Allah akan jadikan amalannya itu makhluk yang baik rupa parasnya dan ia sentiasa menjaga temannya hingga hari kiamat. Sebaliknya pula sekiranya amalan buruk yang dibawa maka ia akan ditemani oleh satu makhluk yang buruk rupa parasnya, bengis dan menggerunkan. Sudahlah keseorangan tiba-tiba ada makhluk yang hodoh rupa yang sentiasa menggangu hingga hari kiamat. Sebab itulah nabi sentiasa ingatkan kita supaya menghargai masa dengan melakukan kebaikan. Umur dan masa yang dihabiskan dengan sia-sia akan mendatangkan penyesalan yang amat sangat. Nabi menyeru umatnya supaya bersegera dengan lima perkara sebelum datang lima perkara:

Masa muda sebelum datang masa tua
Masa sihat sebelum datang masa sakit
Masa kaya sebelum datang masa miskin
Masa lapang sebelum datang masa sempit
Masa hidup sebelum datang mati

Sebenarnya masa yang masih berbaki ini mestilah dimanfaatkan sungguh-sungguh. Umur manusia semuanya akan berakhir. Saban hari kematian berlaku, ini boleh mengajar kita untuk insaf sungguh-sungguh. Cuma kita dirahsiakan daripada tahu kerja buat Allah Taala. Dengan sebab tidak tahu saat datangnya kematian itulah kita sentiasa berjaga-jaga. Rebutlah peluang dengan umur yang masih ada ini untuk memohon keampunan kepada Allah.sebelum kita hirup nafas terakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan